Tuesday, November 24, 2015

Bapa wajib beri nafkah walaupun sudah bercerai

Oleh : Mohamad Isa Abd Ralip
Kolum : Peguam Syarie Menulis
Tarikh : 19 Mac 2008
Sumber : Berita Harian

APABILA sesuatu kes perceraian selesai dibicarakan di Mahkamah Syariah, ia selalunya membawa kepada tuntutan seterusnya iaitu nafkah untuk anak sama ada masih bayi atau sudah bersekolah oleh bekas isteri dan ini merupakan satu fenomena biasa. Apatah lagi dalam banyak kes, selalunya anak akan tinggal bersama ibu atau keluarga sebelah ibu sedangkan nafkah yang diperlukan datangnya daripada sebelah bapa. Bukan sedikit bapa yang lari dan cuai dalam menjaga kebajikan anak dengan baik selepas berlaku perceraian.

Dalam Islam adalah menjadi kewajipan bapa untuk menyediakan nafkah bagi anaknya sebagaimana wajib ke atasnya menyediakan nafkah terhadap isterinya. Fuqaha bersepakat jika bapa masih hidup dan ada kemudahan kewangan serta berkemampuan berusaha dan bekerja, maka wajib atasnya membiayai nafkah anak tanpa berkongsi dengan sesiapa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya." (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Manakala dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aishah katanya: "Hindun Binti Utbah berkata: Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberikan aku harta yang mencukupi untuk aku dan anak aku melainkan harta yang aku ambil tanpa pengetahuannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Ambillah (harta Abu Sufyan) apa yang mencukupi untuk kamu dan anak-anak kamu dengan baik."

Berdasarkan hadis itu jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan bagi seorang bapa walau dalam apa juga keadaan sekali pun. Dan jika bapa tidak memberi nafkah, maka ibu boleh mengambil harta bapa sekadar yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan anak itu.

Dalam kitab Fiqh al-Manhaj, terjemahan kitab feqah Mazhab Syafie, bab nafkah, ada menyatakan kewajipan memberi nafkah terhadap anak adalah berdasarkan kepada syarat nafkah usul (ayah, datuk) kepada furuk' (anak, cucu). Usul dimaksudkan dengan bapa dan datuk (usul keturunan) yang wajib memberi nafkah kepada anaknya dan cucunya hingga ke bawah (furu' keturunan).

Oleh itu, bapa adalah orang yang bertanggungjawab membiayai nafkah seseorang anak sama ada anak itu lelaki atau perempuan. Jika anak itu tidak mempunyai bapa, maka datuk iaitu ayah kepada bapa wajib mengambil tanggungjawab berkenaan. Begitulah seterusnya berdasarkan hubungan usul yang terdekat dengan furu'.

Selanjutnya, firman Allah yang bermaksud: "Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya." (Surah At-Talaq, ayat 6) Ayat itu menjelaskan mengenai kewajipan bapa membayar upah menyusukan anaknya. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa. Ibu tidak dibebankan dengan tanggung jawab itu tetapi apa yang diberikan jika ada dianggap pemberian sumbangan bagi membantu suami.

Justeru, apabila seorang bapa mempunyai harta kekayaan, wajib ke atasnya membiayai nafkah anaknya dengan hartanya. Jika ia tidak mempunyai harta tapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah anaknya. Dengan itu bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa mengabaikan tanggung jawabnya.

Bahkan, dalam kitab Fiqh al-Manhaj menjelaskan kewajipan memberi nafkah seorang bapa terhadap anaknya dan begitulah sebaliknya tidak akan terjejas sekali pun mereka adalah berlainan agama.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Seksyen 74 secara khusus memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes itu berdasarkan peruntukan berikut:
• Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya:
• Jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
• Jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
• Dalam mana menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri
• Apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain;
• Apabila memberi kebenaran kepada lelaki itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23.


Oleh demikian, seorang bapa beragama Islam tetap wajib memberikan nafkah terhadap anaknya walaupun si anak bukan beragama Islam dan dalam keadaan tertentu seperti bapa sudah uzur, anak yang beragama Islam wajib pula memberikan nafkah terhadap bapanya walaupun tidak beragama Islam.

Dalil harus memberikan nafkah kepada usul walaupun bukan Islam (musyrik) ialah berdasarkan hadis diriwayatkan Asma' Binti Abu Bakar katanya: "Ibuku datang menemuiku dan dia masih lagi tidak memeluk Islam (musyrik).

Ketika itu perjanjian damai di antara orang Islam dan kafir Quraisy telah termeterai (masa di antara perjanjian Hudaibiah dan Pembukaan Makkah). Aku meminta fatwa daripada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ibuku datang sedangkan dia membenci Islam. Adakah aku perlu menghubungkan silaturahim dengannya. Rasulullah SAW bersabda: Lakukanlah."

Kesimpulannya, walau apa juga keadaan sekalipun, seorang bapa tetap berkewajipan menunaikan tanggungjawab terhadap anaknya. Ia adalah satu kewajipan yang dibebankan kepada bapa dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain untuk menanggung nafkah anak melainkan bapa tidak ada atau tidak mampu barulah kewajipan itu berpindah kepada datuk dan saudara lelaki sebelah bapa.

4 comments:

  1. betul tu... nafkah anak, tanggungjawab bapa..

    ReplyDelete
  2. Assalam sha,
    sayangnya itu yang jarang berlaku kan3
    bila dah bercerai sebab sakit hati kat bekas isteri terus ketepikan hak anak mendapatakn nafkah kan3

    ReplyDelete
  3. kdg2 diorg ni kawin x tau pape..tau nak kawin ja..kdg2 nafkah pun diorg abaikan..kursus2 perkahwinan harus dipertingkatkan jgn amik mudah..la ni pasangan kawin awai2 nak halalkan yg haram tp x tau hukum hakam segala susah nti nak adap hal2 rumahtangga..mcm2 dah skrg duk berlaku..ishhh byk komplen lak kita kbai

    ReplyDelete

Assalamualaikum.. Salam ukwah dari saya untuk anda..
Terima kasih sudi singgah blog saya..