Friday, February 21, 2020

HelloDoktor | Realiti Penyakit Mental Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Assalamualaikum..
Hye semua..

Info ini bagus untuk bacaan semua.. Tak kisahlah anda ada anak, tak ada anak, dah berkahwin atau belum berkahwin..

Oleh Mohammad Nazri Zulkafli Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan


Penyakit mental kian meningkat saban tahun. Pada tahun 2016, kajian terhadap pelajar yang menuntut di sekolah bawah kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan bahawa 2 daripada 10 pelajar sekolah di negara ini mengalami gejala penyakit mental yang serius.

Bukan senang buat ibu bapa untuk tahu berkenaan dengan risiko anak untuk mendapat penyakit mental. Ia merupakan keadaan kesihatan yang kebiasaannya tidak terzahir pada rupa luaran. Jika ia tidak dibendung, mereka boleh didiagnosis dengan penyakit mental kronik yang boleh mempengaruhi kualiti hidup mereka kelak.

Artikel ini akan mengupas tajuk penyakit mental dalam kalangan kanak-kanak. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.
Kanak-kanak 10 tahun ditemui mati tergantung

Hancur hati seorang ibu apabila melihat anaknya mati tergantung pada pemegang tangga. Hakikatnya, percubaan untuk membunuh diri (sama ada berjaya ataupun tidak) dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit mental agak tinggi.

Anak yang berusia 10 tahun itu tidak mempunyai rekod penyakit mental. Tiada bukti keganasan seksual mahupun perbuatan jenayah telah direkodkan dalam laporan bedah siasat. Punca pemergiannya hanyalah disebabkan oleh gantung diri. 

Ini bukanlah kali pertama kes menyayat hati sebegini terjadi. Beberapa kes cubaan bunuh diri oleh kanak-kanak pernah berlaku kebelakangan ini. Ingat lagikah anda akan kes kanak-kanak perempuan yang cuba untuk terjun daripada tingkat 19 selepas bertengkar dengan ibunya? 

Apakah yang telah terjadi? Adakah kita terlalu memberikan tumpuan kepada risiko untuk orang dewasa membunuh diri walhal anak-anak juga mengalami kemurungan dek tekanan hidup? Peristiwa sebeginilah yang menjadi bukti bahawasanya jiwa anak-anak muda sedang bergolak.

Masalah yang dialami oleh mereka seperti buli, perceraian ibu bapa dan kehilangan insan tersayang membuatkan perbuatan menamatkan hidup seakan-akan alternatif yang munasabah. Mereka lebih rela untuk mengambil jalan mudah daripada menghadapi stigma yang kian menebal dalam kalangan masyarakat.

Ada sahaja yang tidak kena. Mengaitkan penyakit kemurungan dengan gila tidak akan membantu mana-mana pihak. Gejala tersebut perlu dirawat dan jika ibu bapa mendapati terdapat kelainan pada corak tingkah laku anak, bawalah mereka berjumpa dengan doktor. Kesihatan mereka jauh lebih penting daripada maruah keluarga yang sering dianggap akan tercalar dek diagnosis penyakit mental.
Jumlah kes bunuh diri kian meningkat di Malaysia

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NMHS) 2017, terdapat peningkatan pada peratusan individu yang berusia di antara 13 hingga 17 tahun daripada perspektif tingkah laku bunuh diri. Anda perlu tahu bahawa tingkah laku bunuh diri ini boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
Idea ingin bunuh diri: Hanya timbul idea untuk membunuh diri
Mempunyai perancangan untuk bunuh diri: Mempunyai idea dan perancangan berkenaan dengan kaedah untuk membunuh diri
Cubaan bunuh diri: Melaksanakan perancangan bunuh diri. Ia boleh berjaya atau gagal

Menurut NMHS 2017, prevalen individu yang mempunyai idea untuk bunuh diri meningkat daripada 7.9% (2012) kepada 10%. Prevalen bagi mereka yang merancang pula meningkat daripada 6.4% (2012) kepada 7.3%. Bagaimana pula dengan cubaan untuk membunuh diri?

Peratusan prevalen bagi mereka yang cuba untuk membunuh diri meningkat sebanyak 0.1% (6.9%) daripada nilai peratusan NMHS 2012. Dalam kalangan 10 hingga 40 cubaan membunuh diri, 1 kes berjaya. Bunuh diri merupakan antara 10 punca utama kematian di dunia.

Bukan semua orang yang membunuh diri mempunyai masalah kemurungan. Ada yang mengalami diagnosis penyakit mental yang lain. Namun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kemurungan merupakan punca utama kepada terjadinya permasalahan ini.
Bukan di Malaysia sahaja, penyakit mental kian teruk


Jika anda beranggapan bahawa peningkatan kepada kes bunuh diri ini khusus buat negara Malaysia sahaja, anda silap. Negara maju seperti England juga mengalami permasalahan yang sama. Peratusan kanak-kanak yang mendapatkan rawatan penyakit mental meningkat sebanyak 50% pada tahun 2018 berbanding dengan tahun 2015.

Syarat yang dikenakan kepada kanak-kanak yang boleh dirawat dikatakan tidak masuk akal. Kira-kira ⅓ daripada jumlah pusat kesihatan di England tidak akan memberikan rawatan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai penyakit mental tahap serius. Secara asasnya, jika tiada cubaan membunuh diri, tiada siapa pun akan mengambil kisah.

Peningkatan pada masalah kesihatan mental di negara tersebut berpunca daripada tekanan untuk mendapatkan prestasi cemerlang dan perkara yang berkaitan dengan media sosial. Kekurangan jumlah pusat kesihatan yang berperanan dalam merawat gejala kesihatan mental pada peringkat awal boleh menyebabkan komplikasi kronik.

Bayangkan, kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda awal penyakit mental disarankan untuk mendapatkan bantuan daripada badan amal kebajikan. Masalahnya, kebanyakan gerakan tersebut hanya boleh memberikan khidmat kaunseling memandangkan mereka kekurangan doktor pakar yang berlesen untuk merawat pesakit tersebut.

Kaji selidik yang telah dijalankan oleh badan amal YoungMinds telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai penyakit mental tidak mahu berkongsi perasaan mereka dengan keluarga, guru atau rakan-rakan. Antara faktor yang mempengaruhi tahap kesihatan mental mereka adalah seperti berikut:
Tekanan untuk mencapai prestasi cemerlang di sekolah (77%)
Risau dengan rupa paras mereka (69%)
Masalah dengan rakan-rakan (52%)
Terlalu banyak menghabiskan masa di media sosial (27%)
Buli di alam maya

Jumlah kanak-kanak yang berusia di bawah 11 tahun yang mendapatkan rawatan penyakit mental pada tahun 2018 di England meningkat kepada 31,531 daripada 21,125 pada tahun 2015. Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang serius memandangkan guru dan pekerja sekolah seringkali menemui pelajar yang menghantukkan kepala ke dinding berikutan tidak dapat mengawal tekanan emosi.

Selain daripada sebab yang dinyatakan di atas, kegiatan buli di alam maya juga memainkan peranan penting dalam peningkatan kes penyakit mental tersebut. Antara gejala yang boleh dialami oleh mereka yang melalui keadaan tersebut adalah:
Mengalami tekanan emosi selepas menggunakan telefon pintar atau internet
Tidak bergaul dengan keluarga, rakan-rakan atau melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sosial
Tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain di sekolah
Prestasi menurun dan cepat mengamuk di rumah
Mengalami perubahan pada mood, tingkah laku, tidur dan selera makan
Berhasrat untuk tidak menggunakan telefon pintar atau komputer
Gelisah atau melatah tatkala menerima pesanan ringkas di telefon atau e-mel
Tidak mahu berbual mengenai aktiviti di alam maya (media sosial dan sebagainya)

Konklusi

Jika anak anda menunjukkan sebarang gejala atau perubahan pada tingkah laku, jangan membuat sebarang tindakan melulu berasaskan anggapan. Bawa mereka berjumpa dengan golongan profesional untuk khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan. Ingat, penyakit mental tidak khusus buat golongan dewasa sahaja!

Lebih banyak info menarik di https://hellodoktor.com/ms/

4 comments:

  1. Budak budak sekarang kan 🙄🙄
    Macam Macam laaa...
    Semoga parents bijak membantu anak anak... Jgn nak asyik salah anak sahaja.... Depa a pon ada rasa malu jugak.

    ReplyDelete
  2. mental health anak-anak memang penting... lagi-lagi yang dah mula bersekolah tu

    ReplyDelete
  3. bahayanya kanak2 pun ada yg dah kena sakit mental dah ye

    ReplyDelete
  4. mohon dijauhkan dari tekanan sbegini..

    ReplyDelete

Assalamualaikum.. Salam ukwah dari saya untuk anda..
Terima kasih sudi singgah blog saya..

Goodreads

Sha's bookshelf: read

Dia Trouble Maker
Bara
Pelukis Jalanan
Kelibat Setan
Mila’s Big Splash
Dheo's
Misi Budak Tahfiz
Puaka Jambatan
Saat Aku Berpaling
Cikgu Kelas Sebelah
Surihati Encik Pembunuh
Aneh
Kasyaf Ain
Jadikan Aku Yang Terakhir
Cik Isteri Dan Encik Suami
Projek Seram: TOYS
Lamaran Di Taman Nakajima
Pemburu
Misi Hero
Pinjam Sayap


Sha Mohamed's favorite books »