Assalamualaikum...
Sekadar perkongsian bersama..
Semoga bermanfaat..
Senarai Semak Ini Mesti Ada Kalau Pilih Berpantang Sendiri
Selepas bersalin, wanita perlu menjalani tempoh berpantang. Berpantang
bertujuan untuk memulihkan kembali kesihatan dan tenaga yang hilang
semasa proses melahirkan bayi.
Kalau dulu, orang Melayu sahaja yang mengamalkan berpantang selepas
bersalin. Tetapi kini, kaum lain turut mengamalkannya kerana kesannya
positifnya kepada tubuh badan wanita lepas bersalin.
Biasanya wanita akan memilih untuk balik ke kampung sendiri bagi
menjalani tempoh berpantang dan dijaga oleh ibunya. Tetapi kini ramai
yang mengambil keputusan untuk berpantang sendiri tanpa bantuan ibu
disebabkan faktor kesihatan ibu atau ibu sudah meninggal dunia.
Jika anda memilih untuk berpantang sendiri di rumah, pastikan
penglibatan suami dalam memberikan bantuan. Suami perlu menjadi orang
kuat yang membantu isteri sepanjang tempoh berpantang.
Pastikan tujuh senarai semak ini memang ada dalam
to do list anda.
1. Persiapan makanan
Salah satu faktor penting dalam penjagaan ibu berpantang adalah
pemakanan. Ibu lepas bersalin mesti makan makanan yang berkhasiat dan
tidak boleh terlepas waktu makan. Tetapi ibu tidak boleh makan
sembarangan jenis makanan. Jadi, pastikan beberapa minggu sebelum
bersalin, anda sudah buat persiapan menu makanan berpantang dan
bahan-bahan yang diperlukan serta cara memasaknya.
Ini bagi memudahkan suami membantu menyediakan masakan tersebut.
Maklumlah pada minggu-minggu awal, ibu tidak boleh bergerak banyak. Menu
orang berpantang mudah disediakan dan ringkas sahaja. Barang basah yang
sudah dibeli, simpan di dalam peti sejuk. Pastikan sudah siap dipotong
dan dibersihkan untuk satu kali masak.
Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi
mempercepatkan pengecutan rahim. Pastikan juga waktu makan tepat untuk
mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika panas dalam kadar
sederhana.Tetapi ibu perlu makan dengan kerap apatah lagi sedang
menyusukan bayi, maka ibu cepat berasa lapar.
2. Peranan suami
Suami adalah orang yang paling rapat dengan anda. Sokongan dan bantuan
suami sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani tempoh berpantang
dengan sempurna tanpa tekanan. Berbincanglah dan terangkan kepada suami
bagaimana dia boleh membantu anda semasa berpantang.
Suami mesti membantu menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh,
menjemur dan melipat pakaian, menjaga anak, memasak makanan berpantang
isteri dan menguruskan keperluan isteri berpantang.
Oleh itu sebaiknya, suami mengambil cuti yang panjang lebih kurang
seminggu atau dua minggu untuk menguruskan isteri dan anak yang baru
lahir. Bantuan amat diperlukan terutama jika ibu bersalin secara
pembedahan
3. Sediakan jadual berpantang
Rutin harian semasa berpantang amat penting supaya ibu dapat rehat yang
cukup. Sediakan jadual rutin waktu mandi, bertungku, bertangas,
berpilis, memakai bengkuk, berurut, mengepam susu (untuk stok jika anda
bekerja) dan menguruskan bayi. Dengan adanya jadual, anda akan
berdisiplin mengikut rutin berpantang supaya cepat kembali cergas.
4. Hantar anak di taska
Sekiranya anda mempunyai anak, pastikan mereka juga mempunyai jadual
aktiviti harian supaya mereka tidak membuat 'perangai' dan boleh
mengganggu emosi ibu. Jika mereka memang anda tinggalkan di taska atau
pengasuh ketika bekerja, maka sepanjang berpantang anda perlu tetap
menghantar mereka.
Ini kerana agak sukar untuk anda menjalani tempoh berpantang sendirian
tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang sama perlu menjaga
anak-anak lain terutama jika mereka berusia di bawah enam tahun.
5. Mencari bidan/tukang urut
Keperluan ini sangat penting untuk memastikan rutin berpantang dapat
dilaksanakan dengan lancar.Oleh itu pastikan anda sudah membuat tempahan
awal bidan atau tukang urut untuk mengurut anda semasa berpantang.
Sekarang bukan sahaja ada khidmat tukang urut, kalau ada bajet lebih
anda juga boleh mengupah confinement lady yang akan membantu menguruskan
penjagaan ibu dalam berpantang.
Menariknya, anda boleh pilih pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut
bajet anda. Pakej yang ditawarkan termasuk mengurut, memakaian bengkuk,
memasak makanan berpantang dan memandikan bayi. Ia lebih mudah dan
banyak membantu ibu berpantang.
6. Kelengkapan ibu bersalin dan bayi
Pastikan kesemua kelengkapan untuk anda dan bayi sudah tersedia. Antara
kelengkapan ibu yang mesti ada adalah stoking, baju sejuk, kain batik,
bengkung, tungku, herba berpantang, pam payu dara, keperluan menyimpan
susu ibu perahan, tuala wanita dan coli penyusuan.
Sementara keperluan bayi pula termasuk pakaian, lampin pakai buang,
tisu basah, sarung kaki dan tangan, set tilam, minyak telon, bedung dan
lain-lain yang penting. Bagaimanapun jika kehabisan stok barangan
keperluan tersebut dan tiada sesiap boleh membantu membelikan, anda
boleh beli sahaja secar online. Kini ada bermacam kedai barangan ibu dan
bayi yang menawarkan khidmat jualan secara online.
7. Persediaan mental, fizikal dan emosi
Anda mungkin fikir anda kuat dan boleh menguruskannya sendirian tetapi
selepas melalui tempoh berpantang sendiri, ternyata ia tidak semudah
yang disangka. Oleh itu pastikan anda sudah membuat persiapan mental,
fizikal dan emosi. Banyakan mencari maklumat dan info daripada
pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya.
Berpantang seorang diri memang berisiko. Anda mungkin akan bersedih dan
tertekan apabila semuanya perlu dilakukan sendiri kerana biasanya ibu
berpantang dilayan seperti 'permaisuri' oleh orang yang menjaganya.
Oleh itu pastikan anda sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui
sepanjang tempoh berpantang terutama dalam bab menjaga bayi baru lahir.
Elakkan daripada rasa tertekan kerana jika emosi tidak stabil,anda
mungkin berasa sedih atau meroyan.
Tetapi kini dengan kecanggihan teknologi internet, anda tak perlu risau
kerana boleh sahaja mendapatkan maklumat dan info yang diperlukan
dengan sekali klik sahaja di telefon pintar. Yang penting ada khidmat
internet!
Info diperolehi di
SINI.
boleh baca juga -
Bila Isteri Berpantang