Assalamualaikum..
Hye semua.
LejenPress:
DEWAN BAHASA DAN PERKATAAN BUNYI ANEH
Swafoto, tunafoto, nirtunai, mencicip -- kedengaran perkataan ini begitu asing dalam kalangan kita. Terasa seperti perkataan yang direka-reka; kedengaran pelik, dan tidak pernah digunakan dek orang. Ramai dalam kalangan kita rasa janggal, malah terasa kelakar pun ada. Tidak kurang yang mengkritik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana mencipta atau menggubah (atau apa saja yang sepadan dengannya) perkataan yang pelik-pelik dan entah dari mana asal-usulnya ini.
Pandangan sinikal netizen terhadap DBP bukanlah situasi baru. Pandangan sinikal ini berakar daripada pendapat konsensus bahawa bahasa digubah DBP jarang sekali menggambarkan bahasa yang digunakan oleh orang awam - bahasa Melayu yang sering kita guna dan dengar sama ada di pasar malam, di jalanan atau di rumah.
Orang ramai beranggapan bahasa dan perkataan-perkataan yang digubah dan diputuskan DBP seolah-olah bukan berakar daripada bahasa Melayu yang dituturkan oleh kebanyakan orang ramai. Itu belum mengambil kira pertembungan ideologi antara 'bahasa indie' dengan 'bahasa DBP' lagi.
Kurang lebih setahun yang sudah, sebuah forum menemukan Lejen Press dan DBP dengan tajuk perbincangan 'Karya Indie Merancu Bahasa' telah dianjurkan di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Hasilnya, dapatlah kami bersemuka berbicara tentang pendirian, bahasa dan hala tuju masing-masing di samping mengenal hati budi antara satu sama lain sambil disaksikan bakal-bakal guru yang comel-comel belaka.
Selaku penulis dan penggiat novel alternatif sejak 2010, pertembungan idea ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Seringkali karya-karya daripada novel alternatif ditohmah dalam media arus perdana, malah buku kami juga turut terkena tempiasnya.
Sehinggakan beberapa tahun sudah, sebuah raja lama syarikat penerbitan negara melancarkan kempen 'Awasi Bahan Bacaan Anak Anda' yang jelas mensasarkan kami penerbit-penerbit buku alternatif. Kami yang ketika itu masih bertatih dalam dunia penerbitan buku tertanya-tanya apakah dosa kami hingga diperlakukan sebegitu rupa?
Seyogia, saya suka melihat langkah DBP sejak akhir-akhir ini yang aktif merekayasa bahasa Melayu - sejajar dengan persediaan penutur bahasa ini dalam menghadapi abad ke-21 yang melangkau perubahan serba-serbi dengan cukup pantas.
Saya menyukai perkataan 'swafoto', sebagai terjemahan langsung perkataan 'selfie' dalam bahasa Inggeris. Walaupun saya percaya majoriti penutur bahasa Melayu sendiri lebih biasa dan masih selesa menggunakan perkataan asal daripada bahasa Inggeris itu.
Perkataan-perkataan lain yang saya 'ok' adalah seperti nirtunai - iaitu 'cashless' - dalam istilah transaksi perniagaan melalui ruang maya dan fizikal - adalah perkataan yang saya setujui dan wajar digunakan dengan lebih meluas.
Tahukah anda, nir itu bermaksud 'tiada' dalam bahasa Sanskrit? Tak tahu? Tak apa. Teruskan membaca.
Nirvana bermaksud 'tiada kecelaruan dan kegelapan' (ironinya kumpulan grunge Nirvana peminat-peminatnya ramai yang bercelaru dan sentiasa rasa hidup ini penuh kegelapan - tidak semua).
Nirmala pula bermaksud 'tiada cacat cela'. Perkataan 'mala' bermaksud cacat cela dan mempunyai kaitan dengan perkataan malapetaka yang membawa erti 'kejadian buruk yang mencetuskan cacat cela'.
Tetapi ada juga perkataan yang dipertikaikan dan kedengaran agak buruk untuk digunakan orang ramai (sekurang-kurangnya pada peringkat awal ini), seperti baru-baru ini yang tular di media sosial iaitu 'tunafoto' yang merujuk kepada 'photobomb' dalam bahasa Inggeris.
Ramai yang beranggapan bahawa perkataan tuna itu berkait dengan spesis ikan yang selalu dimakan dengan roti. Memang lazat dalam bentuk ikan, tapi ia masih janggal untuk bergabung digubah menjadi perkataan baru yang tidak berkait dengan ikan.
Perkataan tuna itu turut membawa maksud 'rosak'. Dalam bahasa Indonesia, banyak perkataan yang didirikan daripada penggunaannya. Sebagai contoh, tuna busana yang bermaksud tidak berpakaian sempurna (bukan telanjang atau bogel).
Jadi, tunafoto membawa maksud "gambar yang dirosakkan". Mudah dan logik bunyinya jika dinilai daripada maksud lain perkataan itu. Nah, memang sesuai untuk menggantikan perkataan photobomb, bukan?
Saya percaya skeptikalnya masyarakat terhadap usaha DBP merekayasa perkataan-perkataan baru dalam bahasa Melayu ini datang daripada sikap DBP sendiri yang skeptikal dengan bahasa yang digunakan oleh masyarakat secara umumnya.
Bak kata ahli fizik, Sir Isaac Newton, "every action will create reaction". Daripada sikap diktator bahasa DBP inilah datangnya sifat memberontak lalu terciptanya karya-karya indie yang mahu lebih dekat dengan jiwa pembaca daripada segi penggunaan dan pendekatan karyanya.
Begitu juga apabila perkataan-perkataan ini dikeluarkan oleh DBP, orang ramai pula menyambutnya dengan sinis dan ketawa.
Karya magnum opus George Orwell, Nineteen-Eighty Four, ada menegaskan bahawa bahasa yang dikawal oleh pihak pemerintah adalah bahasa yang mencengkam pemikiran rakyatnya sendiri.
Jika kita mahu melihat masyarakat yang demokratik, bahasanya harus demokratik juga. Tidak perlu ada satu badan yang menentukan perkataan ini boleh, perkataan itu tak boleh. Jika ada pun, sedarlah dan terimalah bahawasanya bukan sahaja manusia dan muzik berevolusi dari zaman ke zaman, tetapi bahasa juga sama.
Pada ketika DBP mahu merekayasa bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran abad ke-21, badan itu haruslah sedar bahawa pada akhirnya, kelangsungan bahasa itu bergantung pada penuturnya. Dekatkan bahasa itu pada jiwa penuturnya, bukan sekadar dekat di hati penggubahnya.
Apalah gunanya jika DBP sekadar memberanakkan perkataan-perkataan ini, yang pada akhirnya hanya digunakan untuk ujian lisan SPM atau mesyuarat rasmi kerajaan, tetapi tidak digunakan secara menyeluruh dan penuh bangga oleh masyarakat di jalanan, baik ketika bercanda dengan kekasih, atau ketika berbual dengan kawan atau keluarga?
Saya menyokong niat murni DBP dalam menjadikan bahasa Melayu bahasa yang disanjungi, tetapi usaha ini harus diterapkan secara menyeluruh dan dari bawah iaitu dari rakyat jelata. Bukannya sekadar dari kerusi empuk (empukkah?) Ketua Pengarah semata-mata.
Dan saya percaya, majoriti orang awam yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak menggunakan perkataan 'rekayasa' dalam pertuturan mereka, sebaliknya mungkin renovate, atau reinvent. Sama seperti perkataan 'download', 'smart phone' dan 'loading' (sekadar menyebut beberapa contoh) yang amat jarang sekali digunakan menggunakan perkataan bahasa Melayu dalam pertuturan seharian.
Mungkin orang masih selesa dengan perkataan Inggeris. Kita baru merdeka 60 tahun, dan kuasa-kuasa dunia masih lagi bertutur dalam bahasa Inggeris.
Biarkan bahasa itu membesar secara organik. Biarkan ia berkembang dengan penuturnya.
Namun, selagi mana DBP tidak mengiktiraf 'aq' atau 'ak' sebagai kata seerti untuk perkataan 'aku', DBP masih relevan.
Artikel asal boleh baca di
SINI.
Semoga perkongsian ini bermanfaat..
Kena lebih banyak membaca dan menggunakan perkataan yang disebut diatas..
Awalnya memang nampak pelik.. Lama-lama pasti akan jadi kebiasaan..